Pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Bobby Gonzales berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Felda United untuk meledakkan gol pertama pada minit ke-31 dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

The Fighters bermula garang sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila Ifedayo Olusegun menyempurnakan hantaran Norshahrul Idlan Talaha untuk mengikat jaringan 1-1.

PKNS FC enggan menyerah kalah sebaliknya menggandakan asakan dan mereka kembali mendahului pada minit ke-59 menerusi Mohd. Nazrin Syamsul Bahri yang menyempurnakan sepakan penalti.

Jaringan tersebut tidak melemahkan semangat skuad The Fighters apabila ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73.

Ifedayo muncul wira The Fighter apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian bagi memastikan tuan rumah mengutip tiga mata penuh dan mengesahkan slot di peringkat suku akhir Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE