Timbalan Presiden Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC), Datuk Mohd. Isa Abu Kasim hari ini tampil menjelaskan kronologi mengapa mereka gagal mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hingga terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

“Pada 26 September 2017, FAM telah memberi tanda aras bagi penyerahan dokumen kepada Felda United sebanyak 99 peratus. Baki satu peratus adalah berkaitan hal Laporan Kewangan 2016 yang beraudit dan Laporan Kewangan Interim (Pengurusan Akaun) Januari hingga Julai 2017 yang tidak diserahkan.

“Mesyuarat ‘Appeals Body’ (Badan Rayuan) AB diadakan pada 28 September 2017 telah memutuskan tarikh akhir penghantaran semula semua dokumen pada 16 Oktober 2017 jam 12 tengah hari.

“Felda United telah menghantar Laporan Kewangan Beraudit 2016 dan Laporan Kewangan Interim Januari hingga Julai 2017 sebelum tarikh tutup yang ditetapkan pada 16 Oktober 2017.

“Semua dokumen yang diperlukan telah dihantar kepada pihak FAM dalam masa yang ditetapkan. Dua jam selepas tamat tempoh Felda United menerima panggilan telefon daripada pegawai FAM yang menyatakan Laporan Kewangan Interim Januari hingga Julai 2017 perlu disahkan juruaudit dan memohon supaya Felda menghantar semula. Namun, Laporan Kewangan Interim telah disediakan mengikut amalan audit kewangan oleh juruaudit bertauliah.

“Felda United menghantar semula Laporan Kewangan Interim yang telah disahkan oleh juruaudit selepas menerima arahan untuk dihantar semula,” kata Mohd. Isa dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Isa, kegagalan untuk mendapat lesen kelab tidak bermakna pengurusan Felda United mempunyai sikap sambil lewa dan tidak menghormati mana-mana pihak yang terlibat.

Felda juga katanya tidak pernah gagal mengaudit akaun serta sentiasa menjaga kebajikan pemain, malah tidak pernah menghadapi masalah gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Felda United menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kami tidak melakukan pengauditan bagi kewangan kelab, malah Felda United sebenarnya sangat komited dan menyokong penuh perlaksanaan Pelesenan Kelab Liga Malaysia dalam usaha ke arah pengurusan bola sepak yang profesional.

“Bagaimanapun, Felda United bertekad untuk memberikan saingan yang terbaik dalam Liga Perdana musim depan bagi memastikan kami kembali ke saingan Liga Super musim 2019,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE