Kevin menegaskan, tidak timbul isu FMLLP mempunyai agenda dalam membuat keputusan tidak membenarkan Felda United beraksi dalam Liga Super musim depan, sebaliknya skuad itu sememangnya gagal mendapatkan lesen Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bermain dalam pertandi­ngan divisyen satu itu.

Katanya, faktor Felda Uni­ted tidak mendapat lesen FAM adalah kerana mereka gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit pada tarikh yang ditetapkan.

Dengan keputusan FMLLP itu bermakna skuad The Figh­ters, yang menduduki anak tangga ketiga dalam Liga Super 2017 di belakang JDT dan Pahang, akan beraksi dalam Liga Perdana pada musim 2018.

“Adakah setiap keputusan yang dibuat perlu diputar belit supaya nampak seperti untuk menganiayai sesuatu pihak supaya segalanya menyebelahi JDT (Johor Darul Ta’zim)?

“Felda United tidak berjaya dapat lesen termasuk di pe­ringkat rayuan kerana dokumen yang perlu dihantar tidak dilengkapkan sepenuhnya.

“Cara pemikiran ini adalah lebih untuk menutup kesalahan sendiri dengan menuding jari (kepada pihak lain). Bila pula kita nak terima kelemahan, ba­iki kesalahan dan terus maju?,” kata Kevin dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tegasnya, FMLLP tidak boleh menutup mata atau memberi peluang kepada mana-mana kelab supaya bola sepak Malaysia dapat setanding dengan negara jiran yang tegas terhadap pelesenan kelab.

“Sebagai contoh, dua pasukan divisyen dua Liga Thailand telah diturunkan ke divisyen empat kerana gagal mendapatkan pelesenan kelab. Tinggalkan semua pemikiran yang negatif supaya bola sepak kita mampu maju ke hadapan,” ujarnya.

Dengan penyingkiran Felda United, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC yang menduduki tempat ketiga Liga Perdana 2017 dinaikkan ke Liga Super untuk musim depan.

Sementara itu T-Team yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II (TFCII) mendapat kelulusan untuk beraksi dalam Liga Perdana meskipun tahun ini menduduki tempat kesembilan Liga Super dan tempat mereka akan digantikan oleh Negeri Sembilan yang menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana tahun ini.

“Keputusan ini dibuat selepas FMLLP menerima permohonan mereka untuk menstrukturkan semula bola sepak Terengganu di mana pasukan T-Team mahu menjadi feeder club (kepada pasukan utama).

“Oleh itu, FMLLP menurunkan TFCII untuk bermain dalam Liga Perdana pada 2018,” kata Kevin.

Katanya lagi, TFCII juga tidak dibenarkan bertanding dalam pertandingan sama dengan pasu­kan Terengganu FC 1 (TFC1) iaitu Piala Malaysia dan Piala FA.

“Bukan sahaja TFCII tetapi JDTII juga turut tidak akan bertanding dalam kejohanan yang sama dengan pasukan ne­geri masing-masing,” katanya.