Mat Sport
Mat Sport

Jika pasukan lain boleh menepati segala syarat dan kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen daripada FAM kenapa Felda United tidak boleh melakukan perkara yang sama? Adakah pihak pengurusan kelab tersebut tidak memainkan peranan mereka dengan baik?

Apabila sudah dihukum siapa yang menjadi mangsa? Sudah pasti pemain dan barisan kejurulatihan Felda United yang menjadi mangsa keada­an. Segala usaha yang mereka lakukan pada musim lalu sia-sia hanya disebabkan oleh kegagalan pengurusan Felda United mengemukakan penyata kewangan beraudit pada masa yang ditetapkan.

Tiada gunanya untuk pengurusan Felda United menyalahkan pihak lain sebaliknya mereka perlu menilai kesilapan diri mereka sendiri. Adakah mereka benar-benar berasakan mereka sudah profesional dalam me­lakukan tugas?

Bagi Mat isu seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai pihak pengurusan kelab mahupun persatuan mereka perlu bertindak dengan segera serta profesional. Mat ingatkan isu mendapatkan lesen se­perti ini tidak timbul lagi selepas kegagalan Kedah mendapatkan lesen Piala AFC.

Nampaknya apa yang berlaku kepada Kedah itu tidak dijadikan pengajaran dan iktibar oleh pasukan lain dan sebab itu Felda United turut melakukan kesalahan yang sama. Mereka sepatutnya belajar daripada kesilapan Kedah itu dan tidak me­ngulanginya kerana kesalahan seperti itu amat merugikan khususnya pemain dan penyokong.

FAM di bawah pemimpin baharu amat menitikberatkan profesionalisme dalam menjalankan tugas malangnya seruan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu seperti tidak didengari kerana kesalahan yang sama masih berulang.

Sekarang Felda United nak menyesal pun tiada gunanya. Mahu atau tidak mereka perlu bersaing dalam Liga Perdana musim depan dan Mat berharap mereka dapat kembali menyertai Liga Super pada musim 2019.

Tetapi, dalam bercerita bab profesionalisme Felda United, Mat nak tanya kenapa Kelantan boleh kekal beraksi dalam Liga Super walaupun mereka mempunyai hutang lapuk hampir RM6 juta. Kelantan juga sebelum ini hampir disaman oleh bekas pemainnya sendiri di­sebabkan kegagalan membayar tunggakan gaji.

Berdasarkan peraturan FAM, kelab atau pasukan yang masih mempunyai tunggakan hutang tidak boleh mendapatkan lesen dan perkara sebaliknya berlaku terhadap Kelantan. Mat bukan nak menafikan hak Kelantan tetapi cuma bertanya atas dasar apa Kelantan boleh diberikan lesen beraksi dalam Liga Super untuk musim depan? Itu sahaja.