Jurgen Klopp mengenal pasti pemain Perancis itu sebagai pengganti Philippe Coutinho dan warga Jerman tersebut mempunyai wang untuk berbelanja selepas Barcelona membayar 120 juta pound (RM636 juta) bagi mendapatkan khidmat bintang Brazil itu pada Januari.

Fekir, 24, berminat untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris dan mahukan masa depannya ditentukan sebelum Piala Dunia yang akan bermula tidak sampai dua minggu.

Penyerang itu tidak berusaha untuk menepis spekulasi tentang perpindahannya ke Anfield dan pada minggu lepas mengakui bahawa dia bersedia menyertai Reds.

Liverpool telahpun menandatangani Fabinho dengan harga 44 juta pound (RM233 juta) dari Monaco dan Canal + mendakwa, ejen Fekir, Jean-Pierre Bernes akan berada di barat laut England hari ini bagi memuktamadkan beberapa perkara berhubung perjanjian tersebut.

Sekiranya rundingan berjalan lancar seperti yang dijangka, Liverpool berharap akan dapat melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Fekir pada hujung minggu ini, sebelum melepaskan pemain itu kembali menyertai skuad kebangsaan Perancis.

Fekir dijangka berharga sekitar 70 juta pound, yang menjadikannya sebagai pemain kedua termahal tiba di kelab itu selepas Virgil van Dijk.

Perancis menewaskan Itali 3-1 semalam dalam perlawanan persediaan menjelang Piala Dunia selepas mereka melakar kemenangan 2-0 ke atas Republik Ireland awal minggu ini. Fekir beraksi dalam kedua-dua perlawanan tersebut. – AGENSI