Fazly disenaraikan ke dalam skuad Harimau Malaya yang akan menghadapi Palestin dalam aksi dwi kelayakan tersebut di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada Khamis ini sebagai menggantikan pemain yang cedera.

“Saya terkejut sebaik sahaja mendapat tahu nama saya dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan sebab ini merupakan kali pertama saya dipanggil.

“Bagi saya tiada sebarang tekanan apabila mendapat panggilan tersebut cuma saya perlu memastikan saya dapat memberikan komitmen 100 peratus serta kekal fokus sepanjang perlawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Fazly menyedari bahawa panggilan tersebut bukannya dilakukan oleh Kim Swee sebagai platform melakukan percubaan sebaliknya setiap pemain harus memberikan aksi terbaik sekiranya mahu terus mengekalkan kedudukan dalam Harimau Malaya.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, jika diberi peluang untuk beraksi Khamis ini, dia ingin membalas keyakinan Kim Swee dengan membolosi gawang lawan dan mengakui menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan merupakan impiannya.

“Kalau diberi peluang saya akan cuba sehabis baik untuk mempamerkan aksi cemerlang. Adalah menjadi impian setiap pemain untuk menjaringkan gol bagi pasukan kebangsaan dan jika saya diberi kesempatan tiada apa yang mustahil,” katanya lagi.

Sebelum ini pengendali sementara skuad negara Kim Swee terpaksa menggugurkan enam pemain daripada senarai asal 23 pemain yang dikeluarkan pada 29 Oktober lalu iaitu Baddrol Bakhtiar (Kedah), Zubir Azmi (Terengganu), Azammuddin Akil (Pahang), Hafiz Kamal (Pahang) dan dua pemain JDT, S Kunanlan serta Gary Steven Robbat.

Bagi menggantikan enam pemain tersebut Kim Swee telah memanggil Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B), Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan Fazly.