Tambah Subahan, kompleks yang telah siap dibina sejak satu setengah tahun lalu itu sepatutnya menjadi milik persatuan bagi kegunaan khusus namun sehingga kini ia belum diserahkan.

Jelasnya lagi, kompleks sukan di kawasan seluas kira-kira 2.23 hektar itu diberikan sebagai pertukaran selepas tanah di belakang bangunan Yayasan FAS digazetkan kepada persatuan dan dibangunkan menjadi sebuah pusat komersial setelah berlakunya perubahan pucuk pimpinan negeri di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Bila Selangor menang piala semua orang nak menjulang tetapi tiada seorang pun yang melihat dan memperjuangkan kebajikan FAS. Kita tidak minta banyak, hanya satu tempat khas untuk kita bekerja dan pasukan kesayangan kita berlatih.

“Saya difahamkan pada asalnya padang di belakang bangunan Yayasan FAS itu telah digazetkan kepada FAS tetapi entah bagaimana tiba-tiba boleh dibangunkan sebuah pusat komersial.

“Kemudian sewaktu Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau telah berjuang untuk FAS dan berjaya mendapatkan tanah yang kini menjadi kompleks sukan itu. Namun apabila saya dilantik menjadi presiden FAS, status kompleks itu berubah tanpa sebarang alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kerjasama antara FAS dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di sini hari ini.

Terdahulu, pihak FAS telah menghantar surat permohonan bertarikh 16 Februari lalu namun ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun FAS akan menghantar sekali lagi surat kepada kerajaan negeri supaya mempertimbangkan isu tersebut dan sekiranya masih berkeras maka persatuan akan membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Dalam pada itu, Subahan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAS) menyelar tindakan kerajaan negeri yang seperti mengabaikan soal kebajikan pasukan Gergasi Merah Kuning apabila gagal menyediakan padang latihan yang sempurna.

“Kondisi padang SUK yang menjadi tempat latihan skuad Sela­ngor ketika ini ibarat sawah padi,” ujarnya.