Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata, dalam rayuan tersebut, Sarawak meminta FAM mengurangkan jumlah denda atau membatalkannya.

Katanya, FAS menerima surat ras­mi berhubung hukuman itu ming­gu lalu dan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

“Dalam surat rayuan itu, kami akan mengemukakan beberapa alasan munasabah untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Selain mengurangkan jumlah denda, kami juga akan meminta hukuman bermain tanpa penonton dibatalkan.

“FAS akur dengan hukuman yang dikenakan oleh FAM, namun seboleh-bolehnya kami mahu denda RM80,000 dikurangkan atau ditukar kepada amaran keras ke­rana dana itu akan lebih bermanfaat jika disalurkan kepada pembangunan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Timbalan Presiden FAS, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki di sini, semalam.

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada 15 September lalu, menjatuhkan hukuman RM80,000 dan bermain dua perlawanan tanpa penonton kepada Sarawak ekoran tindakan liar penyokong­nya membakar dan me­lontar mercun, suar dan bom asap ke dalam padang.

Malah, mereka turut bertindak merosakkan kenderaan polis dan membaling batu ke bas pasukan pelawat dalam tiga perlawanan berbeza di Kuching.

Bagaimanapun, jawatankuasa ber­kenaan memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 25 Kod Tatatertib FAM, yang mana FAS hanya dikenakan hukuman bermain tan­pa penonton untuk satu perlawanan, manakala hukuman bermain tanpa penonton untuk perlawanan yang kedua ditangguh terlebih dahulu.

Perlawanan itu adalah ketika menentang Perak dalam kempen Piala Malaysia pada 30 Ogos 2014 serta dua aksi Liga Super 2015 menentang Perak pada 20 Jun lalu dan menentang Felda United pada 27 Jun lalu.

Mengulas lanjut, beliau merayu penyokong Bujang Senang yang sentiasa berada di hadapan dan belakang pasukan untuk terus menjaga disiplin seperti perlawanan sebelum ini dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan seperti membakar suar dan lain-lain.

Sementara itu, Abdullah memberitahu, FAS komited untuk membentuk sebuah pasukan mantap berteraskan bakat-bakat muda ne­geri itu bagi saingan Liga Malaysia 2016.

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa FAS akan membawa nama-nama besar dalam kalangan pemain tempatan dan import bagi memperkukuhkan pasukan Bujang Senang tahun depan.

“FAS sudah melantik Datuk K. Rajagobal sebagai Ketua Jurulatih pada musim hadapan dan kami juga akan menyerapkan beberapa bakat muda dari pasukan Piala Presiden dan Piala Belia ke dalam pasukan senior.

“Bagi saingan Piala Malaysia 2015 yang sedang berlangsung, Sarawak akan cuba pergi sejauh mungkin.

“Peluang masih terbuka dan kami belum menyerah kalah,” ujarnya.

Selepas dua perlawanan, Sara­wak kini menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata.