Kesal dengan sikap tidak beretika itu, FAS bercadang me­lancarkan kempen anti-perkauman ke­rana bimbang isu tersebut akan mencemari sukan tanah air jika tidak dibendung.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon me­negaskan, beliau kesal perkara seperti itu masih berlaku dalam zaman serba canggih dan me­ngingatkan peminat agar me­nyalurkan kemarahan dengan cara betul tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Kutukan berbaur perkauman tidak patut berlaku.

“FAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan peminat yang melakukan provokasi melampau berbaur perkauman.

“Kami faham, mereka marah de­ngan prestasi pasukan tetapi mereka tiada hak mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman.

“Kami tidak menafikan hak mereka untuk bersuara tetapi jangan melampaui batas.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada jawatankuasa dan mungkin me­ngusulkan kempen anti-perkauman kepada pasukan media FAS.

“Saya fikir jika FAM turut terlibat, kempen ini pasti akan lebih berpengaruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan ketua jurulatih Selangor, Sathianathan yang menerima pelbagai kutukan berbaur perkauman sepanjang pasukannya gagal menca­tat kemenangan dalam lima aksi Liga Super.

Apa yang lebih mengejutkan, cercaan itu juga dilakukan oleh kanak-kanak seawal usia 11 tahun.

Ketika ditanya sama ada FAS akan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya kutukan berbaur perkauman penyokong dilakukan di media sosial, Johan berkata, ia bukan pilihan mereka buat masa ini.

“Segala komen penyokong di media sosial adalah hak masing-masing. Saya fikir tidak praktikal untuk kami membuat laporan terhadap setiap komen yang dilakukan kerana mungkin jumlahnya banyak.

“Saya fikir, isu ini melibatkan mentaliti, bukan mudah untuk kita mengubahnya dan ia mengambil masa yang lama.

“Ada baiknya jika penyokong sendiri yang mempunyai ke­sedaran terhadap isu perkauman ini,” katanya lagi.