Timbalan Presiden FAS, Datuk Mohd. Abu Bakar Marzuki berkata, pihaknya turut memperkenalkan tiket bermusim bagi memberi keselesaan kepada penyokong setia untuk menyaksikan Sarawak beraksi di Stadium Negeri dalam persaingan Liga Super 2014 yang bakal bermula dua minggu lagi.

Beliau berkata, nombor kad pengenalan akan diguna pakai ketika urusan tempahan kerana pihaknya akan memberi keutamaan kepada anak negeri untuk mendapatkan tiket tersebut.

"Wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dan menyokong kami melaksanakan sistem penjualan tiket secara dalam talian selepas mengadakan perbincangan beberapa minggu lalu.

"Kami berharap menerusi sistem ini masalah kebanjiran penyokong semasa membeli tiket dan dilema penyokong beratur panjang tetapi gagal mendapat tiket kerana kehabisan dapat diatasi," katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Sarawak di Jalan Sultan Tengah di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Abu Bakar berkata, orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut boleh melayari laman web rasmi FAS, www.sarawakfootball.commem dan membuat pembayaran menggunakan kad kredit, kad debit atau perbankan elektronik.

Katanya, selepas membuat pembelian, pembeli mesti mencetak bukti pembelian atau mencatat nombor rekod belian serta nombor kad pengenalan bagi menuntut tiket sehari sebelum perlawanan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, harga tiket bermusim akan dijual bermula RM300 bagi tempat duduk terbuka, RM500 (tempat duduk berbumbung), RM700 (Grandstand B), dan RM1,500 (korporat).

Tiket individu pula dijual dengan harga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM20 (tempat duduk berbumbung), RM35 (Grandstand B).

"Perkhidmatan tempahan tiket secara dalam talian adalah untuk semua perlawanan sepanjang musim 2014 melibatkan pas-pas bermusim dan juga belian secara individu mengikut perlawanan.

"Bagi pembelian secara individu, FAS mengehadkan sebanyak lima tiket sahaja boleh dibeli, manakala untuk perlawanan yang dikategorikan sebagai 'hot match' setiap individu dihadkan hanya membeli dua tiket," katanya.

Sementara itu, Mohd. Abu Bakar merayu kepada penyokong setia skuad Bujang Senang supaya berdisiplin pada musim ini bagi mengelakkan FAS didenda.

Katanya, kedegilan segelintir penyokong yang membakar suar atau mercun musim lalu menyebabkan FAS menjadi antara persatuan yang paling banyak membayar denda kepada FAM.

Beliau turut mengumumkan pada malam ini akan berlangsung majlis pelancaran jersi rasmi penaja utama skuad Bujang Senang iaitu Sarawak Energy dan pengenalan barisan pemain yang menggalas cabaran musim ini.

Sarawak juga, katanya, akan mengharungi satu lagi perlawanan ujian pada Sabtu ini iaitu menentang KL SPA Putrajaya di Stadium Negeri dan tiket bagi kawasan terbuka adalah RM10, manakala tempat terbuka RM15.