Awal bulan ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah memutuskan bahawa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Emiriyah Arab Bersatu

(UAE) pada 17 November akan diadakan tanpa penonton gara-gara kejadian itu. FAM juga didenda 40,000 franc Swiss (RM 173,000) serta diberi amaran.

Selain itu, skuad Harimau Malaya turut diberikan keputusan kalah 3-0 kepada Arab Saudi dalam perlawanan di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu. Surat yang menjelaskan butiran hukuman berkenaan diterima oleh FAM pada minggu lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad menjelaskan, badan induk bola sepak negara itu mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada FIFA bagaimana­pun selepas mengambil kira beberapa faktor mereka membuat keputusan untuk tidak merayu.

“Memang kami dibenarkan untuk membuat rayuan kepada badan induk bola sepak dunia itu sekiranya kami tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan, bagaimanapun selepas mengambil kira butiran hukuman yang dikenakan kami fikir peluang untuk mengurangkan hukuman tersebut adalah tipis.

“Jadi kami batalkan hasrat untuk membuat rayuan kepada FIFA. Kami menerima jawapan kurang memberangsangkan daripada FIFA, bagaimanapun bentuk hukuman yang dikenakan tidak terlalu berat berbanding (yang diterima) negara lain terutamanya penggantungan beraksi tanpa penonton sebanyak satu perlawanan sahaja.

“Malah jumlah denda yang dikenakan turut dianggap munasabah berbanding hukuman yang diterima oleh negara lain. Jadi kami terima keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman kerjasama FAM dengan Sportradar di Wisma FAM semalam.

Pada 8 September, perlawanan skuad negara dengan Arab Saudi dalam aksi dwikelayakan itu terhenti akibat amukan penyokong apabila mereka bertindak membakar suar, mercun roket serta mencabut tempat duduk dan memba­lingnya ke padang.

Insiden tersebut berlaku ketika permainan berbaki dua minit dan selepas gagal mengawal keadaan pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man terpaksa menghentikan perlawanan tersebut ketika pasukan negara sedang ketinggalan 1-2.

Mokthar turut memberitahu FAM masih menanti keputusan daripada Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berhubung kekecohan semasa perlawanan itu.

“Kami sudah menjawab surat tunjuk sebab kepada Pesuruhjaya Sukan tetapi masih belum menerima jawapan daripada mereka. Saya berasa sedih kerana perkara ini mendapat liputan meluas kerana boleh jadi satu ancaman sekiranya FIFA beranggapan ada kemungkinan campur tangan daripada kerajaan,” katanya.

Mengenai pencarian jurulatih kebangsaan, Mokthar, yang juga Pengerusi Tugas-tugas Khas, memaklumkan pada masa ini pihaknya sedang mengumpul permohonan yang telah dibuat dan satu laporan akan disediakan oleh unit teknikal sebelum diserahkan kepada panel pemilihan.

“Kami ada masa sampai hujung tahun ini untuk memilih jurulatih kebangsaan. Sekarang ini semua permohonan tersebut telah dihantar kepada unit teknikal untuk ditapis sebelum laporan tersebut diberi kepada panel pemilihan.

“Sekarang ini kami sedang kumpulkan permohonan yang diterima, bagaimanapun sekiranya ada permohonan yang berkelayakan kami masih boleh menerima selepas tarikh tutup. Sehingga kini sudah lebih daripada 30 permohonan. Bagi pemilihan jurulatih Bawah 23 pula panel pemilihan akan membuat tapisan yang dijangka pada Isnin ini,” katanya lagi.

Terdahulu, FAM telah memeterai kerjasama dengan Sportradar, yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Stefan Leibhard untuk membantu badan induk bola sepak negara itu mengumpul data pemain dan perlawanan yang akan dimuat naik ke laman web rasmi FAM.