Hamidin yang juga pengurus pasukan Harimau Malaysia berkata beliau meminta agar mana-mana pihak tidak menjadikan bola sepak sebagai alat untuk membuat bantahan terhadap kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

“FAM tidak akan menarik diri daripada Piala AFF. Bola sepak berkecuali dengan agama, politik, perkauman dan sebagainya. Kalau mahu tarik diri sepatutnya dibuat sejak awal lagi dan bukan sekarang.

“Kami berada di Myanmar untuk menghadapi peringkat kumpulan. Kalau ada rezeki kita layak ke peringkat separuh akhir dan final, selepas itu kita akan berjumpa pasukan lain. Bagi saya ini tidak menjadi isu.

“Mengapa FAM dan bola sepak dijadikan mangsa untuk isu se­perti ini. Jangan jadikan bola sepak sebagai kambing hitam dalam isu ini. Keputusan terletak sepenuhnya kepada Exco FAM,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin turut mempersoalkan adakah Myanmar tidak akan diundang beraksi dalam Sukan SEA 2017, yang mana Malaysia menjadi tuan rumah temasya tersebut.

“Saya nak tanya apakah selepas ini Myanmar tidak akan dijemput untuk Sukan SEA 2017 kerana kita tuan rumah. Saya yakin dan berharap agar menteri dapat membuat keputusan sebaik mungkin dalam menangani isu seperti ini. Jika tidak, kita akan digantung FIFA,” katanya lagi.

Tuan rumah Kumpulan B Myanmar dikecam hebat oleh masyarakat Islam negara ini ke­rana keganasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatannya ke atas etnik Muslim Rohingya di wilayah Rakhine.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam berkata keputusan sama ada memboikot Kejohanan AFF kerana tindakan pembersihan etnik itu akan diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuaratnya esok.

Sementara itu, mengulas me­ngenai persembahan Harimau Malaysia ketika bertemu Vietnam yang berkesudahan tumpas 1-0 di Stadium Thuwunna semalam, Hamidin berkata beliau berpuas hati dengan taktikal jurulatih Datuk Ong Kim Swee namun kesal pemain tidak memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin.

“Dari segi taktikal Kim Swee saya berpuas hati. Bagi saya, Vietnam tidak sehebat mana dan berdasarkan statistik kedua-dua pasukan mempunyai empat peluang baik untuk menjaringkan gol. Vietnam berjaya jaringkan satu gol dan perkara sebaliknya berlaku kepada skuad kita.

“Apa yang pasti, berjumpa dengan Myanmar dalam perlawanan terakhir kumpulan kita perlu menang,” katanya lagi. – UTUSAN