Semalam genap dua minggu tempoh yang diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman untuk mengambil tindakan terhadap badan induk bola sepak negara itu selepas menilai jawapan surat tunjuk sebab yang diserahkan kepadanya pada 22 September lalu.

Bagaimanapun, Zaiton seolah masih buntu untuk menentukan bentuk hukuman, malah mengakui bimbang keputusannya bakal mengundang tindakan drastik ke atas FAM daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang jelas tidak membenarkan sebarang campur tangan kerajaan dalam pentadbiran ahli gabungannya.

“Maaf... Ini sesuatu yang perlu ditangani dengan halus dan berhemah untuk mendapatkan satu keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

“Memang kita dah tahu hukuman daripada FIFA namun saya perlu mengkajinya (hukuman daripada pejabatnya) sedalam-dalamnya dan minta maaf tak dapat menghuraikan apakah tindakan yang boleh saya lakukan seterusnya. Saya perlukan sedikit masa kerana perlu mengkaji setiap sudut dan dalam masa terdekat akan dapat satu keputusan yang adil dan saksama.

“Kita perlu melihat daripada pelbagai sudut supaya tidak nampak ada campur tangan kerajaan (ke atas FAM) tetapi adalah menjadi peranan Pesuruhjaya Sukan untuk memantau dalam skop kita,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini semalam.

Kenyataan Zaiton itu membayangkan bahawa tiada hukuman berat seperti penggantungan atau pembatalan pendaftaran akan diambil terhadap FAM seperti yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini memberitahu, FAM boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, seksyen 20(1)(6).

Mengikut akta tersebut, Pesuruhjaya Sukan boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran sesuatu badan sukan jika Pesuruhjaya Sukan berpuas hati bahawa badan sukan itu tidak meremedikan, atau cuai untuk meremedikan apa-apa salah amalan, salah laku atau luar aturan di pihak pemegang jawatannya atau anggotanya dalam tempoh yang ditentukan dalam notis bertulis yang diberikan oleh Pesuruhjaya Sukan.

Menguatkan andaian bahawa FAM tidak akan digantung atau dibatalkan pendaftarannya adalah kerana ini kali pertama Pesuruhjaya Sukan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada badan bola sepak kebangsaan itu atas insiden kekecohan penyokong, biarpun sebelum ini pernah berlaku beberapa kejadian buruk yang melibatkan perlawanan skuad Harimau Malaya.

Justeru, kemungkinan besar hanya amaran atau cadangan untuk memperbaiki kelemahan adalah tindakan yang akan diambil Zaiton, namun sekiranya hukuman berat tetap dikenakan terhadap FAM maka keputusan tersebut boleh dianggap sebagai satu langkah ‘berani mati’.

Dalam insiden di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu, penyokong bertindak liar apabila membakar suar, mercun serta membaling kerusi, dua minit sebelum tamat perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi sehingga memaksa saingan dihentikan.

Akibatnya, pada Isnin lalu FIFA menjatuhkan hukuman denda 40,000 Swiss franc (RM180,000) ke atas FAM dan mengeluarkan amaran. Malaysia juga diarah beraksi dalam stadium kosong ketika menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November ini dan kemenangan 3-0 diberikan kepada Arab Saudi.