Khairy mengakui, mengambil tindakan drastik seperti penggantungan mampu memberi kesan buruk terhadap bola sepak negara secara keseluruhan kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak membenarkan sebarang campur tangan kerajaan dalam pentadbiran ahli gabungannya.

“Pendapat popular hari ini ialah minta tindakan drastik terhadap FAM, mungkin mereka tidak fikir soal kesan selepas itu apabila penggantungan dibuat oleh FIFA terhadap persatuan bola sepak negara, hendak dapat semula persetujuan FIFA untuk dimasukkan semula amat sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hadiah Cabaran Berjalan Kaki Ahli Parlimen Garmin di sini semalam.

Khairy sebelum ini pernah berkata, FAM mungkin digantung sekiranya Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak ber­puas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh badan bola sepak itu berhubung kekecohan yang ditimbulkan penyokong dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 8 September lalu.

Dalam insiden di Stadium Shah Alam itu, penyokong bertindak membakar suar, mercun dan membaling kerusi hingga memaksa perlawanan menentang Arab Saudi dihentikan pada minit ke-88.

Akibatnya, FAM didenda 40,000 Swiss franc (RM180,000) dan diberikan amaran oleh FIFA.

Kemenangan 3-0 turut dihadiahkan Arab Saudi, manakala Harimau Malaya dihukum bermain dalam stadium kosong apabila menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di laman sendiri dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 17 November ini.

Khairy juga meminta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengkaji im­plikasi tindakan yang akan diambil terhadap FAM bagi mengelak ia memberi kesan buruk kepada bola sepak.

Katanya, mengambil pengalaman Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) yang pernah digantung oleh FIFA disebabkan campur tangan kerajaan menyebabkan persatuan induk bola sepak republik itu bukan sahaja tidak boleh bermain di peringkat antarabangsa, malah liga tempatan turut terjejas.

“Datuk Zaiton telah menge­syorkan kepada saya tindakan yang akan diambil, tetapi saya minta beliau ambil masa sedikit untuk perhalusi dengan lebih mendalam kesan dan implikasi hukuman tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita harus meneliti kes-kes sebelum ini terutamanya yang melibatkan PSSI yang pernah digantung oleh FIFA.

“Apabila keputusan telah dibuat, kita akan umumkan. Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairy turut berkata, Akta Pembangunan Sukan 1997 mungkin dipinda untuk memberi lebih pilihan kepada Pesuruhjaya Sukan dalam menentukan hukuman ter­hadap persatuan sukan.

Beliau mengakui, Zaiton menghadapi kesulitan dalam membuat keputusan mengenai bentuk hukuman yang wajar diterima oleh FAM.

“Sekarang daripada segi denda untuk persatuan se­perti FAM tidak banyak, dalam RM50,000 sahaja dan pilihan lain pula terus gantung. Satu terlalu drastik dan satu lagi terlalu ringan.

“Jadi mungkin kita perlu fikirkan dari segi perunda­ngan untuk masa akan datang,” katanya.