Hamidin Mohd. Amin

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, rayuan boleh dilakukan jika Jawatankuasa Tatatertib FAM menyatakan keputusan yang dibuat terhadap sesuatu kes, boleh dirayu.

“FAM tidaklah sekejam yang digambarkan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau bagimanapun mengingatkan pihak yang terlibat supaya mengikut prosedur ditetapkan untuk membuat rayuan bagi me­ringankan hukuman dikenakan.

Hamidin berkata demikian bagi mengulas rasa tidak puas hati yang diluahkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat baru-baru ini yang menganggap denda sebanyak RM87,500 yang dikenakan FAM terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai melampau dan membebankan.

Skuad Penyu turut menerima hukuman bermain satu perlawanan tanpa penyokong susulan tindakan penyokongnya yang membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ketika Terengganu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei lalu.

Penyerang import Terengganu, Paulo Rangel dari Brazil pula digantung enam bulan selepas didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil pada perlawanan itu.

Dalam pada itu, Hamidin menegaskan keputusan untuk meneruskan aksi Liga Super dan Liga Perdana 2015 pada bulan Ramadan ketika ini sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Keputusan telah dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2015 pada Februari lepas.

“Semua pihak perlu faham yang saingan Liga Malaysia 2015 bermula agak lewat kerana pihak FAM perlu terlebih dahulu menyelesaikan hal penajaan liga bagi musim baharu,” katanya.

Beberapa pihak seperti PBSNT dan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan berkenaan yang dikatakan seolah-olah tidak menghormati bulan puasa selain menyaksikan kemerosotan jualan tiket pada hari perlawanan akibat kekurangan penyokong.

Sementara itu, Hamidin turut menegaskan, FAM tidak mempunyai kepenti­ngan peribadi dalam menjatuhkan hukuman terhadap ahli gabu­ngannya.

Malah, semua hukuman dibuat berdasarkan Kod Tatatertib FAM seperti yang diputuskan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), termasuk badan induk itu sendiri.

Dalam pada itu, Hamidin turut menjelaskan, pihaknya hanya bertanggungjawab terhadap kenya­taan yang dibuat oleh ahli habungan dan bukan Exco Sukan di mana-mana negeri.

“Apa pun, pihak FAM sentiasa prihatin terhadap pandangan daripada peminat tetapi harus diingat, FAM hanya ‘locus standi’ terhadap Presiden dan ahli gabungannya.

“Perlu diketahui bahawa mana-mana pertandingan atau kejohanan mestilah mempunyai badan pengelolanya dan di sini FAM adalah badan yang sah untuk mengendalikan Liga Malaysia ketika ini.

“Jadi, andai kata sesebuah pasukan itu tidak berpuas hati dengan sebarang hukuman yang dikenakan, mereka perlu sedar yang sebenarnya mereka pun ada wakil dalam kalangan jawatankuasa-jawatankuasa tetap FAM.

“Jawatankuasa Tatatertib FAM dan Jawatankuasa Rayuan FAM adalah badan bebas seperti yang diarahkan FIFA dan AFC.

“Maka, pengerusi dan semua ahli kedua-dua jawatankuasa ini dalam kalangan mereka yang tiada kena mengena dengan ahli gabungan FAM,” katanya lagi.

FAM bukan berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman