Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, satu lagi rombakan besar yang akan dilakukan adalah melibatkan jumlah wang penajaan.

Katanya, langkah menambah jumlah pemain import dari Asia Tenggara bakal meningkatkan nilai Liga Malaysia, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.

“Namun pemain yang diimport itu perlulah pemain yang dikenali, sebagai contoh pemain itu perlulah membuat sekurang-kurangnya 30 penampilan bersama-sama skuad kebangsaan mereka.

“Kemasukan pemain import ini juga dapat mendorong penajaan daripada pihak luar yang mana harapan saya adalah agar setiap pasukan menerima sekurang-kurangnya RM6 juta atau RM7 juta bagi tempoh setahun,” ujarnya selepas majlis memperkenalkan trofi Liga Super baharu, di sini hari ini.

Sementara itu, Tunku Ismail memaklumkan rombakan jadual liga juga perlu dibuat dengan matlamat mengurangkan tempoh rehat yang terlalu banyak yang menjejaskan suasana dan momentum liga yang sedang berlangsung.

“Jadual liga sedia ada yang memperuntukkan banyak cuti rehat secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pemain, bukan sahaja di peringkat kelab tetapi pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco FAM yang bakal berlangsung di Kedah tidak lama lagi.

Terdahulu, trofi baharu Liga Super yang diperkenalkan hari ini akan diberikan kepada pemenang musim ini. Trofi sebelum ini diperkenalkan pada 2004.

Menurut Tunku Ismail, pihaknya juga bercadang untuk menukar semua trofi yang menjadi rebutan dalam Liga Malaysia kecuali Piala Malaysia.

“Langkah ini sesuai dengan peningkatan nilai Liga Malaysia itu sendiri. Tetapi bukan Piala Malaysia, kerana piala itu mempunyai prestij yang tersendiri,” jelasnya.