Katanya, dua pasukan yang telah layak ke perlawanan akhir Piala LBR iaitu Padang Besar dari Perlis dan Kuching dari Sarawak boleh memohon untuk bermain dalam Liga FAM musim depan namun pasukan itu haruslah bersiap sedia daripada semua aspek.

“Daripada rating 10/10, saya boleh beri 7/10 untuk penganjuran kali pertama ini.

“Saya harap tahun hadapan penganjuran kejohanan ini dapat diteruskan dan ditambah baik agar menjadi kejohanan yang mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu.

“Untuk pasukan yang layak ke final iaitu Padang Besar dan Kuching mereka boleh memohon untuk menyertai Liga FAM jika berminat. Kami akan lihat jumlah pasukan yang memohon, selepas itu kami akan tentukan sama ada mereka terus bermain dalam liga atau main playoff dahulu,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan trofi LBR, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu, pengerusi LBR, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif LBR, Azizul Kamar Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Operasi, Azman Ibrahim.

LBR diilhamkan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan dianjurkan de­ngan kerjasama rakan penaja Bank Rakyat sambil disokong FAM. Dalam edisi pertama kejohanan ini sebanyak 110 pasukan daerah telah bertanding di peringkat zon hingga ke peringkat nasional.

Perlawanan akhir merebut Pia­la Liga Bola Sepak Rakyat akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 28 Mei ini, dan istimewanya tiada bayaran dikenakan kepada peminat yang menonton perlawanan tersebut di stadium.

Sementara itu, 32 pemain dan 16 jurulatih dari 16 pasukan yang mara ke peringkat kebangsaan terpilih menghadiri Kem Bakat anjuran LBR di Kompleks Jeonsa, Kampung Baru dari 18 hingga 22 Mei.

Azman berkata, penganjuran Kem Bakat LBR adalah peluang untuk menimba ilmu mengenai bola sepak yang tidak seharusnya disia-siakan oleh peserta.

Tenaga pengajar adalah pakar dari luar LBR, termasuk jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, bekas jurulatih kebangsaan B. Sathianathan, bekas bek kebangsaan Nizam Jamil dan pengadil tersohor Subkhiddin Mohd. Salleh.