Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, usaha itu diyakini mampu menjadi salah satu saluran yang baik dalam menambah lebih banyak pasukan selain membangunkan struktur liga yang lebih kompetitif.

Menurutnya, pelaksanaan liga yang masih dalam perancangan itu bakal melibatkan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain di bawah 19 tahun dan liga itu terdiri daripada saingan sedia ada.

“Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA. Kami juga akan ada satu liga yang mempunyai 26 atau 27 pasukan yang bersaing di bawah Liga FAM. Liga ini terdiri daripada pasukan komuniti dan peniaga kecil yang ada kelab sendiri.

“Tetapi syarat penyertaan mereka sekurang-kurangnya perlu ada empat pemain bawah 19 tahun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan World League Forum (WLF), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat WLF, Jerome Perlemu­ter; Ahli Lembaga FMLLP, Datuk Yusoff Mahadi; Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Rama­lingam dan Delegasi La Liga Sepanyol di Malaysia, Giorgio Rossi.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor turut memuji kejayaan Skuad Bawah 16 tahun (yang dibimbing Lee Teong Kim), Bawah 19 tahun (Bojan Hodak) dan skuad Bawah 23 tahun (Ong Kim Swee) yang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala AFC pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi FMLLP berkata, Liga Malaysia (Liga M) muncul pertandingan pertama dari Asia Tenggara dan keempat dalam Asia yang menjadi ahli WLF.

Menurutnya, penyertaan dalam badan antarabangsa yang berpangkalan di Zurich, Switzerland itu juga membolehkan pihaknya memperbaiki kelemahan dalam pengurusan liga selain mewujudkan hubungan global.

“Signifikan menyertai WLF pasti membantu dan membuka lebih ruang serta peluang untuk kami bekerjasama dan meningkatkan lagi apa jua kelemahan, malah mampu beri ruang memperkenalkan diri di rangkaian lebih global.

“Jadi, banyak perkara yang boleh kita belajar daripada kelab ternama di dunia terutamanya organisasi yang sudah berjaya. Malah, dengan penyertaan Liga M, maka ruang mendapat pendedahan tidak terbatas dan terbuka sepanjang masa.

“Oleh itu, kita harus belajar dan melakukan inovasi kerana usaha itu penting dalam era bola sepak moden,” katanya sambil memberitahu dengan penyertaan dalam WLF, Liga M boleh dianggap berdiri sama tinggi dengan liga di Jepun, Qatar dan Arab Saudi selepas diterima masuk WLF yang dipengerusikan Richard Scudermore yang juga Pengerusi Ekskutif Liga Inggeris.

Beliau berkata, untuk menyer­tai WLF perlu jalani kelayakan ditetapkan oleh badan berkenaan dengan syarat ketat selain melalui proses penilaian ditetapkan dan bukan semua liga yang memohon akan diterima.