Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pelaksanaan liga itu yang masih dalam peringkat perancangan akan melibatkan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain bawah 19 tahun.

"Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA. Kami juga akan ada satu liga yang mempunyai 26 atau 27 pasukan bersaing di bawah Liga FAM. Liga ini terdiri daripada pasukan komuniti dan peniaga kecil yang ada kelab sendiri.

"Syaratnya adalah mereka perlu sekurang-kurangnya ada empat pemain bawah 19 tahun," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan World League Forum (WLP) di sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, FMLLP selaku pengendali Liga Malaysia (Liga M) menjadi perintis di rantau ASEAN apabila menyertai World Leagus Forum (WLF) yang berpangkalan di Zurich, Switzerland.

Menurutnya, langkah itu merupakan sejarah baharu dalam bola sepak negara, sekali gus diyakini mampu meningkatkan lagi imej Liga M dalam usaha menimba pengalaman baharu daripada kelab-kelab ternama.

"Penyertaan dalam WLF pasti membantu dan membuka lebih ruang serta peluang untuk kami bekerjasama dan meningkatkan lagi apa jua kelemahan malah mampu beri ruang memperkenalkan diri di rangkaian lebih global," katanya. - UTUSAN ONLINE