Presiden FAM itu berkata, mereka mungkin terpaksa membayar RM25 juta jika kalah kes pertama kepada MP & Silva iaitu syarikat yang dilantik sebagai penasihat global kepada badan bola sepak tersebut dalam menjana keuntungan selain menjadi perunding untuk memilih penyiar rasmi Liga Malaysia pada musim 2015.

FAM juga berdepan risiko terpaksa membayar RM9 juta kepada sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembangunan skuad Harimau Muda yang menimba ilmu di Slovakia bagi menghadapi Sukan SEA 2011.

“Saya amat kecewa dengan barisan exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab dalam FAM di mana pada masa ini FAM berhadapan dua kes iaitu satu kes dengan MP & Silva.

“Sekiranya kita kalah, FAM terpaksa membayar RM25 juta dan tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

“Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain? Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan financial securities serta apa sahaja kepentingan adalah kepada FAM tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian yang lemah telah ditandatangani oleh FAM dan meletakkan FAM dalam keadaan susah.

“Buat masa ini nampaknya walaupun FAM akan terima kemasukan duit, tetapi tetap duit tersebut akan keluar semula jika kalah dalam kes-kes berkenaan.

“Oleh itu saya telah berhubung dengan rakan saya dari Singapura dan menggunakan kenalan yang saya ada dalam kerajaan Johor di mana saya akan berjumpa sendiri dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva.

“Insya-Allah saya akan cuba apa yang saya boleh untuk selesaikan perkara ini di luar mahkamah dan supaya kita boleh menjaga duit yang ada dalam FAM,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook rasmi FAM di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, perlawanan utama Liga Malaysia akan menggunakan pengadil dari Jepun untuk mengelakkan timbul rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil.

Tunku Ismail, yang kecewa setelah menerima laporan yang mengkritik pengadil untuk beberapa perlawanan baru-baru ini berkata, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah diarahkan untuk menghubungi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk tujuan itu.

“Berkenaan isu pengadil, dalam masa seminggu ini kami telah menerima beberapa laporan yang mengatakan pengadil telah menjalankan tugas mereka dengan teruk untuk beberapa perlawanan sebelum ini.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan FMLLP untuk melihat semula perjanjian yang kami ada dengan JFA yang mana bagi perlawanan-perlawanan besar dan penting kita akan menggunakan khidmat pengadil luar negara.

“Ini bagi mengelakkan mana-mana pihak daripada menuding jari. Jika ada yang mengatakan JDT (Johor Darul Ta’zim) menang kerana saya adalah Presiden FAM, saya telah memenangi tujuh piala buat JDT dan menentang sistem sebelum menjadi Presiden FAM sebelum ini,” katanya.