Keadaan menjadi tegang seketika apabila Kedah membantah pemilihan pegawai keempat perlawanan, Abdul Halim Mohd. Ramlan yang berasal dari Perak untuk mengantikan Hamdan di Stadium Perak.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Timbalan Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, amalan untuk meletakkan pegawai perlawanan keempat dalam kalangan anak negeri sudah lama diamalkan dan kini badan induk tersebut perlu melihat semula perkara itu.

“Ini kes terpencil kerana semua perlawanan kita meletakkan anak negeri sebagai pegawai perlawanan keempat, bagaimanapun, kami tidak menjangka perkara sebegini boleh berlaku. Isu timbul apabila pegawai perlawanan keempat berasal dari Perak dan perlawanan tersebut melibatkan Perak.

“Kita sudah mempraktikkan perkara ini lama dan apabila perkara seperti ini berlaku kami perlu membuat penambahbaikkan agar perkara sama tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan undian pusingan kelayakan Piala FA di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md. Dali Wahid berkata, seseorang pengadil perlu melepasi ujian kecergasan terlebih dahulu sebelum mereka dipi­lih untuk mengadili perlawanan dalam Liga Malaysia (Liga M), bagaimanapun, apa yang berlaku di Perak, semalam, berada di luar kawalan badan induk tersebut.

“FAM akan menyiasat perkara ini dengan memanggil pe­ngadil tersebut. Kami mahu melihat tahap kecergasan pe­ngadil itu sama ada dia benar-benar cergas atau sebaliknya. Jika tidak cergas kami perlu merehatkan dia daripada me­ngadili mana-mana perlawanan.

“Perkara ini berada di luar kawalan kerana kami sudahpun melakukan ujian kecergasan sebelum memilih pengadil, malah, turut melakukan latihan setiap bulan. Bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab pengadil untuk menjaga tahap kecergasan,” katanya.