Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah berhubung dengan persatuan bola sepak negara berkenaan untuk tujuan mengkaji pro dan kontra mengenai pengambilan pemain naturalisasi.

“Kami akan maklumkan perkembangan ini apabila semuanya telah siap, dan semua pihak perlu menunggu cada­ngan FAM sama ada meneruskan atau tidak, jika sesuai kami akan melaksanakan.

“Apa pun tujuannya adalah untuk kebaikan bola sepak negara, tetapi penghujung­nya (kata putus) kerajaan yang akan memutuskan untuk memberi kewarganegaraan atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyua­rat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelima penggal 2017-2021, di sini hari ini.

Hamidin berkata, cada­ngan itu dikemukakan ketika menjawab soalan dalam sesi dia­log bersama penyokong bola sepak di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai salah satu mekanisme memperbaiki pres­tasi serta kedudukan ranking pasukan negara yang kian merosot.

“Ini adalah salah satu cadangan untuk melonjakkan bola sepak negara namun para penyokong perlu bersabar,” katanya.

Mengulas me­ngenai keputusan memanggil penye­rang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh untuk mewakili Harimau Malaya, Hamidin berkata perkara itu diserahkan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata, mengikut prosedur FIFA, pemain yang tinggal di sesebuah negara lebih lima tahun dan mempunyai pasport warganegara, boleh bermain dengan pasukan ‘negara angkatnya’.

Pemain Pahang berusia 23 tahun itu sudah menetap di negara ini sejak berumur 13 tahun dan enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) serta telah mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu.