Pengadil perlawanan Samsudin Ibrahim, penolong pengadil 1 Busrah Eri serta pegawai keempat Khairul Rizal Ismail digantung sehingga satu tindakan lanjut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada masa akan datang manakala penolong pengadil 2 Asmadi Noor Hasni pula digantung selama dua minggu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam kenyataannya berkata Samsudin, Busrah dan Khairul Rizal dikenakan hukuman tersebut kerana kesilapan yang dilakukan mereka ketika melaksanakan undang-undang permainan iaitu berkaitan syarat permulaan semula permainan selepas gol dihasilkan.

“Mereka bertiga jelas telah me­lakukan kesilapan dalam membenarkan pemain PKNS untuk melakukan sepak mula ketika dua pemain Kedah masih berada di kawasan pasukan lawan selepas gol kedua Kedah menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-57.

“Susulan daripada situasi itu, PKNS FC berjaya menjaringkan gol pertama mereka menerusi Mohd. Faiz Isa pada minit ke-58 dan selepas perbincangan antara kesemua pegawai perlawanan berkenaan, gol PKNS FC itu tetap disahkan lalu Samsudin meneruskan baki permainan.

“Asmadi pula hanya digantung dua minggu kerana kedudukannya yang jauh dari tempat insiden berlaku tetapi tetap dianggap bersalah kerana tidak menggunakan konsep untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan berkenaan,” katanya.

Keputusan tersebut dilakukan oleh Jawatankuasa Pengadil FAM selepas menganalisis rakaman video serta laporan daripada penilai pengadil perlawanan berkenaan Zainal Abidin Yaacob.

Tegas Hamidin lagi, FAM memandang serius terhadap perkara tersebut dan mengambil tindakan serta merta dengan membuat keputusan penggantungan tanpa perlu menunggu laporan atau aduan rasmi daripada pasukan terlibat.

“Keempat-empat pegawai perlawanan ini akan dipanggil menghadiri kursus refreshment dalam masa terdekat untuk pihak Jabatan Pengadil FAM menjelaskan lebih mendalam tentang undang-undang permainan kepada mereka,” kata­nya.

Samsudin merupakan antara pengadil berpengalaman di negara ini dan mengendalikan perlawanan-perlawanan penting termasuk final Piala FA 2014 antara Pahang dan Felda United.