Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata selepas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM pada 24 Ogos lalu telah memutuskan Felda United antara lima pasukan yang gagal mendapatkan lesen, mereka telah diberikan ruang, peluang serta khidmat nasihat secukup­nya.

Katanya lagi, pegawai kewangan dari Felda United telah dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Badan Ra­yuan (AB) Pelesenan Kelab FAM bagi menjelaskan perkara yang perlu dilakukan oleh mereka agar lesen berjaya diperoleh.

Susulan pertemuan itu, FAM telah menghantar surat pada 2 Oktober lalu untuk menyatakan dengan lebih jelas bahawa Felda United perlu melengkapkan dua kriteria iaitu Penyata Kewangan Tahunan (F.01) dan Penyata Kewangan Untuk Tempoh Interim (F.02) untuk tujuan tersebut.

“Felda United hanya membalas surat berkenaan dengan disertakan dokumen-dokumen yang diminta pada pukul 11.58 pagi pada 16 Oktober lalu, iaitu dua minit sebelum tarikh tutup ditetapkan dengan keperluan F.01 berjaya dilengkapkan se­perti dikehendaki.

“Namun keperluan F.02 masih gagal dilengkapkan apabila beberapa perkara tidak memenuhi apa yang diperlukan seperti mana telah diberitahu. Bukan semata-mata hanya ke­rana tertinggal cop.

“Jelas di sini, Felda United sendiri yang seolah-olah bersikap sambil lewa, tidak serius, tidak bersungguh-sungguh ser­ta turut tidak menghormati FIB & AB Pelesenan Kelab FAM kerana segala nasihat dan garis panduan diberi tetap tidak dapat membantu mereka untuk menyelesaikan kriteria diperlukan untuk mendapatkan lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi, keputusan itu dibuat adalah berdasarkan peraturan dan bukannya satu penganiayaan atau pilih kasih seperti yang didakwa.

“Apa yang berlaku ini sebenarnya boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk pasukan terbabit serta pasukan lain supaya tidak bersikap sambil lewa atau tidak serius dalam memenuhi enam kriteria yang ditetapkan bagi mendapatkan lesen untuk membolehkan mereka layak beraksi dalam Liga Super,” katanya.