Dalam satu video klip di laman Instagram, Farizal dilihat seperti sengaja melayangkan tumbukan tanpa sebarang sebab ke arah muka Al-Fateh pada minit ke-53 permainan ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian ber­kenaan buat masa ini. Bagaimanapun, perkara itu dipandang serius dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya pemain berkenaan didapati bersalah.

“Saya belum menerima sebarang laporan. Selalunya jawatankuasa disiplin dan tatatertib akan mengemas kini laporan selepas menerima aduan daripada MC (Komisioner perlawanan) dan pengadil perlawanan.

“Disebabkan cuti umum hari ini, jadi mungkin laporan berhubung perkara itu akan diterima esok. Kita akan melihat dan bertanya dahulu insiden ini kepada MC dan pengadil.

“Jika tindakan itu tidak dapat dilihat oleh pengadil dan MC, maka, kita akan gunakan video sebagai rujukan. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyelar tindakan penjaga gawang Selangor di atas kekasaran yang dilihat disengajakan dilakukan terhadap anak buahnya.

Jelasnya, dia sendiri tidak sedar dengan insiden yang berlaku itu dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas video klip mengenainya tersebar dalam media sosial.

Begitupun, Abu Bakar menarik nafas lega apabila tiada kecederaan serius dialami Al-Fateh, namun, insiden itu dilihat sebagai sesuatu yang pelik kerana tiada sebarang provokasi yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.