Fajer berkata, kajian itu dilakukan bagi memastikan TRW mendapat tiga mata dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super ketika ini.

Menurutnya, beliau lebih berminat bercakap soal kemenangan daripada mendapatkan keputusan seri atau kalah menentang pasukan di tangga tercorot liga itu.

“Anda kena tahu falsafah bola sepak saya. Setiap perlawanan saya mahukan menang, tidak kira sama ada pasukan ini bermain di tempat sendiri atau pun di gelanggang lawan.

“Saya hanya mahu pemain menunjukkan aksi terbaik di atas padang, selebihnya saya tidak tahu (keputusan perlawanan) dan saya bertanggungjawab segala-galanya terhadap pasukan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fajer memberitahu, beliau bakal menurunkan barisan muda pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan.

Katanya, keputusan risiko itu diambil selepas berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang dijelmakan oleh barisan muda sepanjang sesi latihan beberapa minggu lalu.

“Kelantan ada ramai pemain muda berbakat, jadi kenapa kita tidak beri ruang dan peluang kepada mereka untuk mempamerkan kelebihan. Anda akan dapat lihat ramai dan bukan seorang dua pemain baru dalam pasukan ini nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE