MOHD. FAIZ SUBRI (kiri) menerima Anugerah WIIPA daripada Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah dalam majlis di Pulau Pinang baru-baru ini. Gambar Unimap

Ini merupakan pengiktirafan pertama yang diberikan WIIPA kepada atlet atas pencapaian pemain Pulau Pinang itu muncul pemain bola sepak Malaysia dan Asia pertama yang memenangi anugerah diberikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Anugerah itu disampaikan oleh Naib Presiden WIIPA, Prof. Madya Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah dalam majlis ringkas di Hotel Ixora, Pulau Pinang baru-baru ini.

Mohd. Mustafa yang juga Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Unimap berkata pihaknya berkongsi kebanggaan dengan pencapaian Faiz yang pernah mewakili pasukan bola sepak Unimap.

“WIIPA berpandangan bahawa Mohd. Faiz telah melakukan satu kreativiti yang menakjubkan dalam teknik mengambil sepakan dan hal tersebut telah diteliti dan diperakui oleh ahli-ahli akademik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Mustafa berkata, WIIPA berpandangan bahawa kreativiti bukan sahaja proses menghasilkan penyelidikan inovasi atau reka bentuk tetapi kreativiti boleh dihasilkan dalam apa jua keadaan dan situasi dalam kehidupan.

“Ia merangkumi kreativiti dalam berfikir, bertindak, berkomunikasi dan perbuatan, justeru jaringan yang dihasilkan Mohd. Faiz merupakan sebahagian daripada kreativiti beliau dalam mempelbagaikan sepakan bebas,” jelasnya.

Katanya, WIIPA kini dianggotai lebih daripada 25 buah negara antaranya Taiwan, Romania, Poland, Korea Selatan, Kanada, Turki, Arab Saudi, Qatar dan Malaysia.