Vingada yang pada mulanya berahsia identiti kapten Malaysia, bagaimanapun mendedahkan perkara itu selepas sesi latihan di Stadium I-Mobile malam tadi, dengan mengesahkan Fadhli bakal menggalas tanggungjawab tersebut dalam perlawanan menentang Korea Utara, malam ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Fadhli pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan perkara itu namun dia mengakui telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya pun baru dipanggil menyertai pasukan kebangsaan buat pertama kali dengan skuad yang baru dibentuk ini, sesiapa yang menjadi kapten tidak penting.

“Semua pemain perlu memainkan peranan sendiri dan paling penting dapat menghadiahkan keputusan yang positif.

“Kami telah membuat persediaan dalam tempoh singkat ini dan berjanji akan memberi yang terbaik dalam aksi malam ini,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Safiq digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada aksi kedua menentang Hong Kong pada 10 Oktober lalu, namun dia boleh beraksi semula pada perlawanan kedua menentang Korea Utara, Isnin ini.

Tambah Fadhli yang mengakui, sejak kembali diturunkan semula dalam kesebelasan utama JDT, keyakinannya untuk beraksi lebih tinggi.- UTUSAN ONLINE.