Pemain tengah berusia 30 tahun itu, yang telahpun beraksi sebanyak 18 kali, musim ini, jika dibandingkan hanya empat penampilan pada penggal lepas diperingkat sama, berharap dapat menikmati kejayaan merangkul trofi Liga Juara-Juara yang belum pernah dimenanginya.

Fabregas, yang merupakan pemain dalam skuad Sepanyol yang menjulang Kejuaraan Eropah pada 2008 dan 2012, serta Piala Dunia 2010 berkata, dia boleh sahaja berputus asa apabila Conte tidak memilihnya pada musim lepas.

“Saya tidak bermain, saya tidak berada di dalam perancangan awalnya dan pada ketika itu, anda boleh melakukan dua perkara. Anda boleh sahaja berputus asa dan menerima bahawa anda bukan sebahagian daripada pasukan atau masa depan kelab.

“Ataupun anda bersikap merendah diri dan membuktikan dia silap. Hubungan saya dengan pengurus sekarang cukup baik. Dia percaya kepada saya. Dia tahu apa yang boleh saya sumbangkan kepada pasukan,” kata Fabregas menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, esok.

Fabregas, yang merupakan anggota di dalam skuad Arsenal sewaktu tewas ditangan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2006, bakal berusia 32 tahun apabila kontraknya tamat pada 2019 dan polisi Chelsea ialah menawarkan setahun kontrak kepada pemain-pemain berusia 30 tahun ke atas.

Bagaimanapun, pemain itu berkata, dia tidak berasa dirinya sudah meningkat usia.

“Saya hanya berusia 30 tahun. Apa itu 30? Tiada apa-apa. Saya masih sangat muda. Saya benar-benar maksudkannya. Terutama apabila melihat bagaimana saya bermain, posisi saya beraksi. Anda masih boleh bermain untuk tempoh yang lama.

“Saya berada di mana saya mahu berada. Saya seronok bermain bola sepak. Apabila tiba detik saya bercakap tentang perkara yang berbeza saya akan berada di sini, bersedia menerimanya,” kata Fabregas.

Conte, yang mana skuad bimbingannya telahpun melayakkan diri ke peringkat kalah mati, tetapi berpeluang berada di kedudukan teratas kumpulan jika menewaskan Atletico, bersetuju dengan Fabregas apabila bercakap mengenai usia.

“Apabila anda telah mencecah usia 30 tahun, sekurang-kurangnya lima tahun lagi anda boleh bermain. Dia (Fabregas) seorang juara, baik daripada seri minda, mentaliti dan di atas faktor itu, dia sangat kuat,” kata Conte. - AFP