Kemenangan ketiga berturut-turut yang dicatat Everton dalam Liga Perdana Inggeris itu melonjakkan mereka ke kedudukan kelapan, tetapi kekalahan yang menimpa Palace pula menyaksikan mereka hanya dua mata daripada kelompok tiga pasukan tercorot.

The Eagles, yang dikendalikan oleh bekas bos England, Roy Hodgson, mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-60 apabila Wilfried Zaha dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Seamus Coleman.

Luka Milivojevic yang mengambil sepakan penalti tersebut, bagaimanapun, gagal menyempurnakan tanggungjawab itu setelah rembatannya berjaya diselamatkan Pickford.

“Saya cuma lihat dia berlari dan biasanya dia akan menyepak terus bola tersebut. Saya kemudian melonjakkan kaki kanan saya dan ternyata berjaya menyelamatkan penalti tersebut,” kata Pickford kepada Sky Sports. - AFP