United yang memulakan persembahan goyah pada musim ini telah menyebabkan kedudukan jurulatih berasal dari Portugal itu di Old Trafford dipersoalkan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Daily Mirror, Mourinho akan dipecat tanpa mengira keputusan perlawanan yang dicatat United di laman sendiri menentang Newcastle dalam saingan Liga Perdana Inggeris, hari ini.

United kini bergelut dengan prestasi setelah jatuh merudum ke tangga ke-10 dan minggu lalu, mereka tumpas 1-3 kepada West Ham yang merupakan kekalahan terburuk kelab itu pada permulaan musim dalam tempoh 29 tahun.

Menurut Mirror, lembaga pengarah telah hilang keyakinan terhadap Mourinho, 55, dengan sumber rapat memaklumkan bahawa khidmatnya selama hampir dua tahun setengah akan berakhir tanpa mengira keputusan yang bakal dicatat pada pertemuan dengan Newcastle.

Rabu lalu, United diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Valencia dalam Liga Juara-Juara, menyaksikan bekas bos Chelsea itu telah gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan di laman sendiri buat kali pertama dalam kariernya sebagai pengurus.

“Ya, saya terima (perlawanan itu tidak cukup bagus),” kata Mourinho yang dilaporkan telah bertelingkah dengan bintang United, Paul Pogba musim ini, sewaktu ditanya tentang kekalahan berturut-turut yang menimpa skuad bimbingannya dalam sidang akhbar menjelang aksi Liga Perdana, semalam.

Sidang akhbar itu yang diadakan di luar waktu kebiasaan iaitu seawal pukul 8 pagi (3 petang waktu Malaysia), hanya mengambil masa selama lapan minit dan 29 saat. Namun, ia sudah memadai untuk Mourinho menjelaskan, bahawa United akan mencatat keputusan lebih baik.

“Kami lebih baik daripada ini, situasi kami sedang diperbaiki. Saya tidak ragui mengenai hal itu,” katanya. - AFP