Seawal 6 petang, perkarangan Dewan Utusan sudah mula dibanjiri kehadiran penyokong kedua-dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu yang dilihat tidak sabar untuk mula memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka. 

Bukan sahaja penyokong dari sekitar ibu negara hadir malahan ada yang sanggup terbang dari Singapura untuk memberikan sokongan mereka terhadap penganjuran program yang mendapat tajaan Standared Chartered.

Pelbagai hadiah menarik turut disediakan kepada pengunjung yang hadir termasuk topi keledar sumbangan Demak, tiket masuk ke taman tema air Sunway Lagoon, tiket penerbangan ke Jaipur, Ho Chi Minh, Pulau Jeju dan Maldives sumbangan Air Asia serta hadiah utama berupa tiket penerbangan ke London sumbangan Malaysia Airlines (MAS). 

Ketua Kemampanan dan Hal Ehwal Awam Hal Ehwal Korporat Standard Chartered, Mastura Adnan berkata, penglibatan kali kedua di dalam acara itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk mendekati masyarakat dan ia sewajarnya diteruskan kerana ia berjaya menyatukan padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Ini merupakan sebahagian daripada cara kami untuk menghargai klien serta masyarakat di negara,” katanya yang juga penyokong tegar Liverpool kepada Mingguan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas berkata, program seumpama itu menampilkan elemen santai yang bersesuaian dengan setiap lapisan masyarakat.

Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Kapten Izham Ismail; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat MAS, Anis Dzun Nurin dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank, Saadiq Ali Alawala.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Amanah Berhad, Datuk Saruji Aziz; Pengarah Komunikasi Korporat MRT Corp., Datuk Najumuddin Abdullah; Ahli Politik, Anina Saadudin dan Ketua Jawatankuasa Penganjuran [email protected], Johardy Ibrahim.