Walaupun pa­sukan-pasukan EPL telah berbelanja lebih 1 bilion pound (RM5.56 bilion) sepanjang musim perpindahan kali ini, Scudamore tetap menganggap kekuatan kewa­ngan pemilik Paris Saint-Germain (PSG) dari Qatar berada dalam kelas yang tersendiri.

“Saya tidak nampak perpindahan seperti itu akan berlaku dalam EPL.

“Rekod perpindahan sebelum ini bernilai 89 juta pound (RM495 juta) yang kemudiannya melonjak mendadak kepada 200 juta pound (RM1.11 bilion) memberi petunjuk ada sesuatu yang berlaku di sana,” katanya kepada BBC Radio 5 Live.

Bayaran 222 juta euro (RM1.12 bilion) yang dikeluarkan gergasi bola sepak Perancis, PSG ketika mendapatkan Neymar daripada Barcelona minggu lalu merupakan rekod perpindahan tertinggi ketika ini.

Jumlah itu mengatasi rekod tahun lalu yang dipegang oleh Paul Pogba iaitu 105 juta euro (RM528 juta) semasa berpindah dari Juventus ke Manchester United.

Tambah Scudamore, beliau gembira rekod nilai perpindahan yang tinggi itu tidak berlaku di dalam EPL.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Barcelona tidak akan menghantar Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) Neymar kepada PSG selagi tidak mendapat bayaran perpindahan penyerang tersebut.

Neymar, 25, sebelum ini turut diketepikan dalam perlawanan pertama Ligue 1 musim ini menentang Amiens, minggu lalu ke­rana belum menerima pelepasan dalam perpindahannya.

PSG perlu terlebih dulu menampilkan ITC kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengesahkan perpindahan Neymar bagi membolehkan pemain tersebut ber­aksi.

Portal sukan, Goal.com difahamkan Barcelona masih menangguhkan proses berkenaan kerana menunggu bayaran penuh dilengkapkan oleh kelab Perancis tersebut. – AGENSI