Pemain Brazil itu dilayangkan kad kuning pada separuh masa pertama kerana melambat-lambatkan sepakan percuma Malaga dengan mengikat tali kasutnya di depan bola dan selepas itu dia sekali lagi dipersalahkan kerana mengasari Roberto Rosales 25 minit sebelum permainan ber­akhir untuk kad kuning kedua.

“Saya fikir tafsiran kad kuning ini sesuatu yang istimewa. Kami perlu berhati-hati dalam perlawanan tertentu kerana akan ada beberapa terjahan dari belakang yang terlepas daripada hukuman dan mengikat tali kasut pula menjadi satu kesalahan besar,” kata Enrique.

Kekalahan me­nimpa Barcelona me­nyaksikan mereka ke­tinggalan tiga mata di belakang Real Madrid yang kini menghuni kedudukan teratas La Liga dan Real pula memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Neymar bukan sahaja terlepas kunjungan ke Real Sociedad minggu depan, malah mungkin tidak dapat bermain dalam pertembungan El Clasico menentang Real pada 23 April ini, setelah bersikap sinis menepuk tangan kepada pengadil selepas dibuang padang.

Perlawanan tersebut sudah pasti menjadi sesuatu yang amat dikesalkan oleh kelab Catalan itu selepas Sandro Ramirez kembali menghantui Barca setelah dilepaskan kelab tersebut pada musim panas lalu.

Ramirez berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk mele­dak gol pembukaan pada minit ke-32.

Malaga memastikan kemenangan menjadi milik mereka apabila Pablo Fornals melakukan hantaran kepada Rodriguez Menendez yang menyumbat gol kedua ke gawang lawan dihujung permainan.

“Malaga menjaringkan gol menerusi percubaan pertama mereka, terima kasih di atas kesilapan kami yang gagal membuat tafsiran ofsaid. Selepas itu, kami mula bergelut,” tambah Enrique. – AFP