England menewaskan Sweden di Samara untuk melangkah ke saingan separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990.

Kini England akan berdepan Croatia dalam aksi separuh akhir dan Andersson berkata Three Lions mampu melangkah jauh di Rusia.

“England sememangnya cukup bagus untuk memenangi Piala Dunia.

“Mereka mempunyai pasukan yang tersusun, tahniah buat mereka dan mereka berhak untuk meraih kemenangan ini.

“Kami berdepan lawan yang amat hebat dan kami telah mempamerkan aksi terbaik cuma nasib tidak memihak kami.

“Ketika 30 minit pertama kami mengawal perlawanan dengan baik sehingga mereka menjaringkan gol ketika sepakan sudut,” kata Andersson.

Dalam perlawanan tersebut Sweden yang kali terakhir melangkah ke saingan separuh akhir pada 1994 dilihat sukar untuk menembusi pertahanan England dan menewaskan penjaga gol, Pickford.

“Penjaga gol England telah menyelamatkan banyak percubaan kami dan anda harus menghormati pasukan lawan jika berdepan penjaga gol yang hebat,” kata Andersson. – AGENSI