Hurst, 77, yang meledak hatrik dalam final di Wembley ketika England mengalahkan Jerman Barat 4-2 memberitahu akhbar Britain, Sun, Southgate telah memupuk semangat berpasukan yang mengagumkan dalam skuad muda Three Lions.

England akan menentang Croatia pada separuh akhir di Moscow, Rabu ini (2 pagi Khamis waktu Malaysia) dan pemenang akan bertemu Perancis atau Belgium di final.

“Sama seperti Sir Alf (bekas pengurus England, Alf Ramsey), dia (Southgate) berjaya membentuk pemainnya dan mempunyai cara permainan yang sangat jelas.

“Mungkin, perkara yang membawa perbezaan besar, kami memiliki empat pemain kelas dunia iaitu Gordon Banks, Bobby Moore, Bobby Charlton dan Jimmy Greaves (tidak beraksi dalam final).

“Skuad kali ini tidak memiliki pemain seperti ini, namun mereka berada dalam standard yang sama. Mungkin ia disebabkan mereka agak muda dan masih mempunyai karier yang panjang,” katanya.

Katanya lagi, pada 1966, Ramsey mendapat pujian kerana berjaya membentuk sebuah pasukan yang memiliki semangat luar biasa, dan dia percaya Southgate telah melakukan perkara yang sama untuk skuad England sekarang.

Begitupun bekas penyerang West Ham United itu berkata, perbezaan antara pemain generasi sekarang dan ketika zamannya adalah media sosial.

“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku di negara ketika itu kerana kami berada dalam lingkungan sendiri. Kami tidak begitu merasai kehangatan kejohanan.

“Kali pertama kami keluar adalah ketika menentang Uruguay dalam aksi pembukaan dan seri 0-0, yang mana ia bukanlah permulaan yang baik.

“Untuk menceriakan diri sendiri, kami pergi ke Pinewood Studios pada keesokan hari bagi menonton filem James Bond,” katanya lagi. - AFP