Skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1990.

Bagaimanapun, Granqvist percaya bahawa England akan kecundang di Samara meskipun terdapat dakwaan menyatakan Sweden merupakan pasukan idaman England di suku akhir.

“Saya ada terbaca mengenai perkara itu. Mengenai 99 daripada 100 mereka akan menewaskan kami.

“Ia sesuatu yang baik untuk England dari segi keyakinan, tetapi lebih baik kita bermain dulu dan lihat apa keputusannya.

“Kami tahu Sweden kebiasaannya bermain dengan baik ketika menentang England. Kami ada rekod baik ke atas mereka, jadi perkara ini tidak penting buat kami,” katanya.

England memiliki rekod kurang baik ketika bertemu Sweden dengan hanya satu kemenangan daripada lapan aksi kompetitif.

Bekas pengendali England, Sven-Goran Eriksson juga tidak berkeyakinan pasukan Three Lions mampu mengatasi Sweden.

“Pada pendapat saya, lebih mudah untuk England menewaskan Brazil berbanding Sweden.

“Jika ada yang beranggapan mereka akan menghadapi perlawanan mudah Sabtu ini, mereka silap. Ia akan menjadi perlawanan paling sengit yang akan dilalui, saya yakin dengan perkara ini.

“Sweden tidak kisah dengan Harry Kane atau sesiapa sahaja di dalam pasukan England. Tidak sama sekali,” katanya.

Bagaimanapun, Southgate menegaskan, mereka sama sekali tidak akan memandang rendah cabaran negara Scandinavian itu.

“Sudah pasti perlawanan akan menjadi sengit, Sweden sering kali dipandang rendah tetapi saya sentiasa menghormati mereka.

“Sejarah pertemuan kami perlu diambil kira dan kami perlu mengubah perkara ini.

“Kami selalu meletakkan mereka sama seperti kami dan saya tidak fikir ia tepat kerana rekod kejohanan mereka lebih baik daripada kami,” katanya. – AGENSI