England, yang semakin menghampiri pusingan akhir di Rusia, perlu menang ke atas pasukan di anak tangga kedua kumpulan itu jika mahu menjadi juara kumpulan sekali gus layak secara automatik.

Dengan Kane kembali mendapat sentuhan jaringannya apabila menyumbat dua gol ketika menewaskan Malta 4-0 kelmarin, Southgate juga gembira dia ada banyak pilihan penyerang untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Memang melegakan apabila melihat ke bangku simpanan, kami boleh bawa masuk Marcus (Rashford), Danny (Welbeck) dan Jamie (Vardy) selain Jermain (Defoe) dan Daniel (Sturridge). Mereka semua pemain berkualiti yang boleh memberi impak besar kepada pasukan.

“Pemain gantian dalam bola sepak era moden amat diperlukan memandangkan pen­tingnya penentuan aksi di peng­hujung permainan. Di sini sumbangan Harry amat bermakna kerana dalam keadaan kritikal dia mampu menjaringkan gol untuk kami lagi.

“Ini dibuktikannya apabila menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan kelayakan kami. Memang agak istimewa dapat memiliki pemain sepertinya dalam situasi sekarang,” tegas Southgate.

England memerlukan dua mata sahaja lagi untuk mara secara automatik daripada baki dua perlawanan peringkat kumpulan dan kemenangan ke atas Slovakia akan mengesahkan kedudukan mereka lebih awal untuk ke Rusia tahun depan. – AFP