Pertahanan Leicester City, Maguire terdahulu meletakkan skuad Three Lions di depan selepas memanfaatkan sepakan sudut Ashley Young pada minit ke-30.

Tandukan Harry Maguire merupakan jaringan kelapan England daripada susulan sepakan bola mati di Piala Dunia kali ini, sekali gus menjadikan pasukan yang paling banyak meledak gol menerusi teknik tersebut dalam sesebuah kejohanan berprestij itu sejak Portugal melakukannya pada 1966 (juga lapan).

England kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-58 menerusi tandukan Dele Alli yang berjaya melepasi jagaan untuk menyambut hantaran lintang Jesse Lingard.

Skuad bimbingan Gareth Southgate bakal membuat perhitungan di separuh akhir sama ada dengan Rusia atau Croatia, yang akan beraksi selepas ini.

Saingan suku akhir itu merupakan pertembungan ke-25 di antara mereka, dengan sebelum itu England mencatat lapan kemenangan manakala Sweden tujuh selain seri sembilan.

Skuad Blagult (Biru-Kuning) mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali kelima dan pernah menjejakkan kaki ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada 1938, 1958 dan 1994.

England menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006, yang mana pada ketika itu mereka tewas kepada sepakan penalti penentuan kepada Portugal.- AGENSI