Itulah yang dialami oleh atlet heptatlon India, Swapna Barman, 21, yang resah menjelang aksi pembukaan saingan olahraga Sukan Asia di Jakarta.

Membuat penampilan sulung dalam Sukan Asia di Incheon, empat tahun lalu, Swapna bimbang dengan pemilihan kasut yang akan digunakan apabila heptatlon membuka tirai pada 28 Ogos.

“Menjelang temasya, perkara utama yang membimbangkan saya adalah tidak mendapat ka­sut yang tepat untuk acara lompat tinggi.

“Saya tidak pernah memiliki kasut yang ditempah khas dan saya berjaya mendapatkan beberapa model bersesuaian, malangnya ia sudah tidak ada lagi di India. Jadi, saya kena menggunakan sepasang kasut lama di Jakarta,” kata Swapna.

Kehidupan atlet olahraga di India agak sukar kerana kebanyakan mereka bergantung kepada geran kerajaan, dan keadaan kaki Swapna yang unik menjadikan keadaan bertambah sukar buat gadis yang berasal dari keluarga miskin di perkampungan Jalpaiguri, Patiala.

Kasut buatan tempatan tidak cukup bagus untuk digunakan dalam pertandingan, justeru Swapna terpaksa menggunakan beberapa jenama antarabangsa.

Memiliki jari tambahan juga bermakna, dia menanggung ke­sakitan setiap kali mendarat dalam acara lompatan, malah kasut yang tidak tahan lama dan perlu kerap diganti menyebabkan dia memerlukan perbelanjaan besar.

“Ini masalah yang perlu saya tanggung seumur hidup saya.

“Ada orang mencadangkan saya melakukan pembedahan untuk membuang jari tambahan tetapi saya tidak pasti tentang perkara itu. Apa pun, tumpuan saya sekarang hanya kepada Sukan Asia,” ujarnya lagi.

Acara heptatlon memerlukan atlet beraksi dalam tujuh disi­plin iaitu 100, 200 dan 800 meter, selain lompat tinggi, lontar peluru, lompat jauh serta rejam lembing.

Swapna mempunyai potensi untuk pergi jauh selepas memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Asia 2017. – REUTERS