Bagaimanapun, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu enggan melakukan sebarang rundingan selepas mereka gagal mendapatkan khidmat Naby Keita, meskipun telahpun bersetuju dengan yuran perpindahan untuk pemain tengah Leipzig itu pada musim panas akan datang.

Reds dijangka berunding dengan bekas bintang Bayern, Can dan butir-butir tentang perjanjian baharunya bakal didedahkan, selepas kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini.

Namun, komen terbaharu pemain itu bakal memarakkan khabar angin bahawa masanya di Anfield semakin tiba ke penghujung.

“Ia merupakan satu penghormatan menerima tawaran daripada sebuah kelab terkemuka. Buat masa ini, saya hanya mahu fokus musim ini bersama Liverpool. Ejen saya akan menguruskan urusan yang selebihnya.

“Liga Perdana merupakan liga yang menarik, dan yang paling menarik di dunia, tetapi anda mesti selalu menghormati kelab-kelab besar dan liga yang lain,” kata Can.

Liverpool tidak berdepan masalah pemain tengah dengan Can, Jordan Henderson, Adam Lallana, Georginio Wijnaldum, Alex Oxlade-Chamberlain, Marko Grujic dan James Milner, kesemua mereka bersedia merebut tempat di dalam kesebelasan utama.

Dengan kehadiran Keita musim panas depan, persaingan akan bertambah sengit lagi. Difahamkan masalah yang berlaku antara pemain Jerman itu dan Liverpool ialah tentang keengganan Reds menyertakan klausa pelepasan di dalam kontrak Can.

Reds berdepan kemungkinan akan kehilangan pemain berusia 23 tahun itu secara percuma jika rundingan perjanjian baharu masih menemui jalan buntu. - AGENSI