Surat kelulusan lesen berkenaan telah dihantar kepada empat pasukan tersebut hari ini selepas mereka berjaya melepasi penilaian yang dibuat ke terhadap enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Terdahulu, mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif pada 15 November 2017 telah meneliti semua dokumen dihantar pasukan-pasukan terbabit dan mendapati pasukan PKNP FC serta Negeri Sembilan berjaya lulus enam kriteria utama yang ditetapkan itu.

“Kuala Lumpur dan Terengganu pula telah diberi tempoh lanjutan selama dua minggu sehingga 30 November 2017 untuk mereka melengkapkan dokumen yang diperlukan dan akhirnya sebelum tarikh tutup tersebut, kedua-dua pasukan berjaya juga untuk menghantarnya dengan lengkap.

“Saya bagi pihak FAM selaku pihak yang memberikan lesen kelab ini ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah berjaya memperoleh Lesen Kelab FAM ini di atas usaha pihak pengurusan masing-masing yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan permohonan mereka berjaya.

“Selamat maju jaya kepada keempat-empat pasukan ini bagi menghadapi saingan Liga Super 2018,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam satu kenyataan akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE