FAS menerusi satu kenyataan akhbar hari ini berkata, mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Presiden Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu bersetuju menerima perletakan jawatan dan merakam penghargaan tertinggi terhadap sumbangan mereka.

“Thean Sheang dan Nizam telah meletak jawatan atas sebab komitmen mereka di dalam syarikat masing-masing. Justeru Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif telah melantik Izhar Moslim dan Dr. Johan Kamal Hamidon untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

“Kami juga menerima peletakan jawatan Rosman dan merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Encik Rosman di dalam FAS selama 18 tahun dan sebagai Setiausaha Agung selama 5 tahun.

“Sivasundaram turut mengumumkan beliau akan bersara sebagai Bendahari setelah tamatnya Liga Super musim 2018. Kami menerima keputusan tersebut dan merakamkan penghargaan terhadap sumbangannya atas perkhidmatan selama 21 tahun bersama FAS,” maklum kenyataan tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, susulan daripad pengunduran Rosman, FAS melantik Johan sebagai Setiausaha Agungnya yang baharu bagi penggal 2017-2021.

Sementara itu, Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor (RMS) bakal menganjurkan satu bengkel bagi menetapkan hala tuju, selain merangka dan memperincikan initiatif pembaharuan FAS bermula 4 hingga 6 Ogos ini.

“Individu-individu yang akan dijemput untuk terlibat dalam sesi ‘workshop’ ini terdiri daripada ahli-ahli FAS dan juga ‘stakeholder’ luaran yang diharap dapat menyumbangkan idea-idea dan input terhadap initiatif pembaharuan FAS,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE