Harapan Arsenal untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas, menerima tamparan hebat setelah gol Phil Jagielka pada minit ke-10 memastikan kemenangan untuk Everton.

Tekanan kian memuncak sewaktu permainan memasuki minit ke-83, apabila Dominic Calvert-Lewin dikasari Shkodran Mustafi.

Bos Everton, Marco Silva dan staf kejurulatihannya mula berperang mulut dengan Emery, tetapi pada ketika pengurus Arsenal itu berdepan dengan rakan sejawatnya, Ozil telah bertindak melemparkan jaketnya ke arah bangku simpanan tuan rumah.

Jaket itu jatuh di kaki Emery dan selepas pertelingkahan di tepi padang itu reda, perlawanan disambung semula dan Everton berjaya mempertahankan keputusan untuk muncul sebagai pemenang.

“Kami perlu mengawal emosi dan kami belajar daripada insiden yang berlaku. Keputusan yang dicatat tidak bagus, tetapi kami masih berada di kedudukan keempat dalam carta.

“Kami akan menghadapi perlawanan besar menentang Napoli pada pertengahan minggu dan minggu depan pula, kami bertemu Watford yang merupakan satu perlawanan positif buat kami. Kami tewas, tetapi kami perlu segera bangkit dan cuba mencari kemenangan dalam aksi berikut,” kata Emery.- AGENSI