Wenger melakukan sembilan pertukaran untuk menghadapi Nottingham, sambil menyifatkan rombakan itu sebagai eksperimen menjelang pertembungan pen­ting menentang Chelsea dalam separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu ini.

Walaupun ada keputusan kontroversi dibuat pengadil, Jon Moss, namun Wenger enggan mengulas mengenai perkara itu, sebaliknya mengakui, pasukannya ‘tidak cukup bagus’ dan me­lakukan kesilapan berulang di atas padang.

Sepakan penalti kedua Nottingham yang disempurnakan Kieran Dowell pada minit ke-85 me­nimbulkan kemarahan pemain Gunners apabila pemain itu dilihat me­nyentuh bola dua kali.

“Sudah banyak kali saya jelaskan apa yang perlu dijelaskan, dan saya tidak akan bercakap lagi tentang pengadil.

“Saya nampak pemain membantah (penalti) tetapi saya tidak nampak apa berlaku,” kata Wenger.

Ditanya me­ngenai rombakan yang dilakukan, Wenger sedar perkara itu pasti dipersoalkan tetapi ia tidak harus dijadikan alasan kerana Arsenal menurunkan lapan atau sembilan pemain yang memiliki penga­laman antarabangsa.

“Mereka (Nottingham) jelas pasukan yang lebih baik. Saya rasa, kami tidak cukup bagus di mana-mana, di depan, tengah, belakang dan kami perlu membayar untuk apa yang dilakukan.

“Mereka lebih tajam, banyak mencipta peluang dan mempa­mer persembahan menakjubkan. Mereka bermain kemas, menang dalam perebutan bola dan sangat berbahaya apabila menye­rang,” katanya.

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat, Eric Lichaj membuka tirai jaringan tuan rumah menerusi tandukan pada minit ke-20 tetapi pertahanan Arsenal, Per Mertesacker menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Nottingham bagaimanapun terus menghukum barisan kurang berpengalaman Arsenal sebelum waktu rehat apabila Lichaj sekali lagi merembat bola menerusi voli menarik dari hujung kotak penalti.

Wenger yang menjalani penggantungan tepi padang hanya mampu melihat dari bangku penonton apabila pemainnya Rob Holding menghadiahkan penalti buat Nottingham, yang disempurnakan pemain remaja Ben Brereton pada minit ke-64 untuk lawan mendahului 3-1.

Danny Welbeck memberi sedikit harapan buat Arsenal 10 minit sebelum masa tamat, namun Dowell melengkapkan kemenangan Nottingham menerusi menerusi sepakan penalti enam minit kemudian.– AGENSI