Tidak cukup dengan itu, kumpulan penyokong yang dikenali sebagai Ultras Malaya kini mengumpul ‘komrad’ atau ahli mereka untuk mengatur perjalanan ke Stadium Rajamangala, Bangkok bagi memberikan sokongan padu untuk aksi kedua peringkat separuh akhir nanti.

Seruan Ultras Malaya
SERUAN Ultras Malaya mengajak 'ekor' Harimau Malaya bersama-sama ke Bangkok bagi memberikan sokongan untuk aksi separuh akhir kedua Malaysia menentang Thailand pada 5 Disember ini. - UTUSAN ONLINE/Ultras Malaya

Apa juga keputusan yang dicatatkan pada aksi pertama pastinya tidak akan merencatkan perjalanan mereka selepas beberapa bas sudah ‘buka’ untuk tempahan di beberapa buah negeri.

“Jangan banyak fikir, jangan banyak tanya jangan banyak alasan. Bas-bas ke (Stadium) Rajamangala sudah dilancarkan, sila klik pautan aplikasi WhatsApp di bawah untuk maklumat lanjut.

“Pergerakan dari bahagian lain bakal menyusul, terus kekal fokus dengan maklumat lanjut dari kami,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun rasmi Ultras Malaya semalam.

Harimau Malaya
MALAYSIA mara ke peringkat separuh akhir selepas berjaya menundukkan Myanmar 3-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. - UTUSAN ONLINE/FAUZI BAHARUDIN

Untuk rekod, pada kempen Piala Suzuki AFF 2014, terdapat tiga orang ‘komrad’ Ultras Malaya yang melakukan ‘kerja gila’ apabila memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil ke Stadium Rajamangala biarpun terpaksa menempuh perjalanan di darat lebih 24 jam.

Utusan Online difahamkan, sekurang-kurangnya lima buah bas termasuk dari Lembah Klang, Utara, Melaka dan beberapa lagi lokasi telah dibuka untuk penyokong-penyokong Malaysia.

Alternatif lain yang bakal digunakan gerakan penyokong ini adalah sama ada menerusi perkhidmatan tren atau pun kapal terbang.

Dan berita baiknya apabila taikun penerbangan tambang murah AirAsia, Tony Fernandez menerusi akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau mempertimbangkan menyediakan pesawat khas membawa penyokong Malaysia ke Bangkok seperti yang pernah dilakukan pada Piala AFF Suzuki 2012.

“Saya sedang mempertimbangkannya,” kata Tony ringkas.

Pada peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2015, AirAsia menawarkan sebanyak 160 tempat duduk kepada penyokong dengan mengenakan bayaran hanya RM500 sahaja termasuk tiket perlawanan, tiket penerbangan pergi dan balik, makanan dan bas.

Carian harga tiket di portal AirAsia adalah RM317 untuk penerbangan pada hari perlawanan, 5 Disember sementara harga tiket pulang boleh didapati serendah RM255.

Ayuh ‘ekor’ Harimau Malaya, kita gegarkan Stadium Rajamangala! - UTUSAN ONLINE