Menurut laporan akhbar Sepanyol, AS, Mohamed Salah diminta untuk meninggalkan kelab itu selepas berlaku pertengkaran dengan pengendali The Reds, Jurgen Klopp.

Salah menyertai Liverpool dari Roma pada musim panas 2017 dan menjadi sensasi Liga Perdana Inggeris selepas meledak 44 gol daripada 52 perlawanan dalam musim pertamanya selain menjadi watak penting membawa The Reds ke final Liga Juara-Juara, musim lalu.

Bagaimanapun, musim ini agak suram buat penyerang Mesir itu apabila dia hanya menjaringkan 22 gol daripada 45 perlawanan dan kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris dengan 19 gol.

Mohamed Salah juga dinamakan sebagai antara individu paling berpengaruh oleh majalah Time.

Menurut AS, Salah dilaporkan kurang gembira dengan Klopp selepas berlaku perselisihan antara mereka dan bersedia untuk mengemukakan permohonan perpindahan pada penghujung musim ini.

Bagaimanapun, ejen Salah menafikan khabar angin itu dan menyifatkan laporan AS itu sebagai bahan jenaka.-AGENSI