Penyerang itu memulakan aksi Serie A musim ini menentang Chievo tetapi tidak beraksi ketika Juventus menang 2-0 ke atas Lazio dan hanya beraksi selama 10 minit sebagai pemain gantian ketika menang 2-1 ke atas Parma.

Pemain berusia 24 tahun itu gagal mendapatkan tempat bersama skuad Argentina selepas digugurkan daripada pasukan Piala Dunia.

Zamparini yang memberi kebenaran kepada Dybala untuk berhijrah dari Palermo ke Juventus pada 2015 mendakwa, Massimiliano Allegri tidak memberi layanan yang baik kepada pemain itu dan bersetuju dengan tindakan Dybala untuk menyertai pasukan La Liga semasa jendela perpindahan akan datang.

“Setiap kali dia disisihkan, saya rasa seperti ingin menangis.

“Dua tahun lalu, saya menghantar mesej kepada Dybala dan menasihatkannya untuk ke Sepanyol dan bukan Itali.

“Dia akan berhijrah kerana Juventus mahukan 120 juta euro (RM577.85 juta). Januari ini, saya fikir dia akan ke Sepanyol. Dia menerima tawaran daripada Sepanyol dan England.

“Juventus sudah banyak menjulang kejuaraan dan jelas sekali pemain cemerlang seperti dia tidak dapat beraksi,” kata Zamparini.

Barcelona dikaitkan dengan perpindahan Dybala sebelum ini manakala Real Madrid dikhabarkan berminat untuk mendapatkannya selepas melepaskan Ronaldo kepada Juventus dengan harga 112 juta euro (RM539.29 juta). – AGENSI