Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berkata, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka mengenakan dua hukuman itu terhadap FAM dalam tempoh terdekat.

Katanya, dua bentuk hukuman itu melibatkan keputusan perlawanan serta denda yang bakal dikenakan terhadap FAM kerana gagal mengawal penonton pada hari perlawanan.

“Terdapat dua bentuk hukuman yang perlu FAM hadapi, yang pertama siapakah yang bakal memenangi perlawanan tersebut.Walaupun kita boleh agak (Arab Saudi menang) tetapi keputusan perlu diputuskan secara rasmi. Satu lagi adalah berkaitan masalah disiplin yang dicetuskan oleh penonton sewaktu hari perlawanan. Jadi ada dua bentuk hukuman yang bakal dihadapi oleh FAM.

“Dijangkakan keputusan tersebut bakal dikeluarkan sebelum perlawanan kelayakan seterusnya iaitu menentang Timor Leste pada 13 Oktober ini. Bagaimanapun tidak menjadi masalah kalau FIFA memberi jawapan selepas daripada tarikh tersebut sebab perlawanan itu diadakan di tempat lawan.

“Bagaimanapun FIFA perlu memberi jawapan selewat-lewatnya sebelum perlawanan kelayakan tersebut diadakan di sini (Malaysia) sebab melibatkan disiplin penonton yang mencetuskan kekecohan semasa perlawanan tempoh hari.

“Tapi saya fikir kemungkinan besar keputusan akan diumumkan sebelum pertemuan menentang Timor Leste sebab FIFA perlu mengemaskini kedudukan pasukan dalam carta kumpulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 8 September lalu, penyokong Malaysia dalam kalangan Ultras Malaya merusuh sehingga menyebabkan perlawanan Harimau Malaya dengan Arab Saudi terhenti pada minit ke-88. Mereka membakar suar, mercun roket serta mencabut tempat duduk dan membalingnya ke padang.

Insiden tersebut menyebabkan pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man terpaksa menghentikan perlawanan ketika pasukan negara sedang ketinggalan 1-2.

Ekoran daripada kejadian tersebut, FAM telah diminta untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada badan induk bola sepak dunia itu dan mereka telah menghantarnya pada 18 September dan sehingga kini sedang menanti hukuman yang bakal dikenakan.

Sekiranya selepas daripada pertemuan menentang Timor Leste tiada sebarang keputusan dikeluarkan maka FIFA perlu melakukannya selewat-lewatnya sebelum 17 November, iaitu sebelum skuad negara menerima kunjungan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di laman sendiri untuk perlawanan dwi kelayakan tersebut.