Skuad bimbingan Bruce Arena seri 1-1 dengan Panama dalam per­lawanan pembukaan, dan sekali lagi gagal menunjukkan aksi meyakinan ketika berdepan negara kerdil Martinique sebelum jaringan Morris pada minit ke-76 mengesahkan kemena­ngan mereka.

Arena juga melakukan lapan pertukaran berbanding skuad yang bergelut ketika seri dengan Panama, namun AS masih sukar membentuk momentum terbaik dan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

“Antara perkara yang cuba saya lakukan dalam kejohanan ini adalah melihat pemain yang kami miliki, jelas kami tidak mempunyai banyak pilihan.

“Saya fikir secara keseluruhan, kami bermain baik. Mungkin kami menyebabkan perlawanan lebih sukar daripada yang sepatutnya tetapi pujian juga harus diberi kepada Martinique,” kata Arena, yang memilih sebahagian besar pemain daripada bakat dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) AS.

Omar Gonzalez meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-53 dan menggandakan kedudukan pada minit ke-64, sebelum Morris me­nyempurnakan hantaran cantik Eric Lichaj.

Martinique bagaimanapun memberi tekanan dengan merapatkan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Kevin Parsemain dan Johan Audel meledak gol kedua mereka selepas menewaskan penjaga gol AS, Brad Guzan pada minit ke-71. – AFP